Khamis, 25 Ogos 2011

Umno hipokrit isu akidah

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihat supaya masalah akidah jangan dikorbankan walaupun berlainan ideologi politik menunjukkan Umno hipokrit.

“Sebenarnya nasihat ini patut ditujukan kepada pemimpin Umno yang sedang mempolitikkan isu murtad kebetulan isu ini berlaku di negeri Pakatan Rakyat,” katanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Jika berlaku di negeri yang ditadbir oleh Umno tentunya nada berlainan, katanya.
“Inilah wajah pemimpim umno yang bersikap hipokrit, daripada dahulu sampai sekarang dalam isu agama,” katanya.

Katanya, jika satu isu itu menguntungkan, maka mereka seolah-olah bercakap mempertahankan Islam seolah-olah lanjutan pemerintahan khalifah al-Rasyidin.

Beliau bertanya, mana suara pemimpin Umno apabila Noraishah Bukhari di Johor, Hartina Kamarudin di Perak, Lina Joy di Wilayah Persekutuan yang murtad.

Waktu itu, jelasnya PAS dan NGO lain bangkit menentang, pada ketika itu mungkin Umno belum berjumpa lagi kitab akidah menyebabkan mereka membisu.
Begitu juga dalam politik, katanya ketika bertemu dengan orang bukan Islam mereka menakutkan dasar Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS.

Menurutnya, apabila bertemu dengan orang Islam, mereka mengatakan bahawa PAS sudah tidak berani menegakkan Islam kerana takut kepada DAP dan PKR.

“Inilah contoh hipokrit pemimpin Umno ketika berkempen di dalam pilihan raya, Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri tidak menghalang kerajaan Melaka yang hendak membina Tugu 1Malaysia.

“Bukankah fatwa mengatakan tidak boleh membina tugu?” soalnya.
Katanya, kerajaan pimpinan Umno terus langgar juga fatwa tersebut.
Menurutnya lagi, sikap pragmatis dan hipokrit pemimpin Umno terserlah lagi dalam isu larangan memasang bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum Subuh yang diarah oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Maka, ujarnya bangkitlah pemimpin Umno menunjukkan kejahilan mereka menentang secara membuta tuli dengan menuduh itu satu lagi penghakisan syiar Islam di bawah pemerintahan Lim Guan Eng.

Pada hal, tambahnya isu itu tidak ada kaitan langsung dengan Pejabat Ketua Menteri.

Begitupun, katanya pemimpin Umno menikus apabila kerajaan Perlis di bawah pemerintahan Umno bersetuju dengan arahan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

“Kenapa pemimpin Umno tidak mengamuk kepada kerajaan Perlis?” soalnya lagi.
Jawapannya, kata beliau mudah kerana itu negeri Umno dan jika Umno buat semua kebal.

Beliau bertanya lagi, mana suara pemimpin Umno ketika seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA dari Pantai Hill Park tidak berpuas hati dengan berkumandangnya azan di Masjid Al-Khadijah, Kampung Pantai Dalam.

“ Suasananya tentu berlainan jika yang melakukan ini ahli DAP. Pemimpin Umno tidak tahu mana sunat dan mana haram,” ujarnya.

Ulasan Jiwa Hamba:
Terlalu jauh jarak antara umno dengan islam. Sejauh timur dari barat dan sejauh langit dari bumi.

Lynas: PAS Pusat akan panggil Dr Che Rosli





KUALA LUMPUR, 25 Ogos: PAS Pusat akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat (gambar) berhubung kenyataannya mengenai isu Lynas yang disiarkan di TV3, malam tadi dalam Buletin Utama.

Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu.

"Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan halangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nuklear. Jadi kita akan panggil Dr Che Rosli untuk mendapatkan penjelasannya," katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Kenyataan Dr Che Rusli itu amat mengejutkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian PAS mengenai isu Lynas.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS dan Pakatan Rakyat tetap menolak projek nuklear Lynas di Gebeng, Kuantan kerana memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh penduduk negara ini terutama penduduk di kawasan itu.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, katanya, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan.

"Selain itu, risiko yang tinggi juga akan dialami ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya," katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, PAS Pahang tetap konsisten dengan keputusannya sejak dulu yang bersama-sama penduduk di kawasan Gebeng, Kuantan menolak projek nuklear Lynas.

"Malah berdasarkan kenyataan penduduk di kawasan itu, sekiranya Dr Che Rosli yang bersetuju dengan projek itu, jangan sekali-kali dibina di kawasan mereka, tetapi bawalah projek nuklear Lynas itu ke tepi rumah Dr Che Rosli sendiri.

"Kenyataan penduduk di kawasan Gebeng itu perlu difahami dengan jelas oleh Dr Che Rosli. Mereka menentangnya bukan kerana tidak memahami kepentingan nuklear, tetapi tidak yakin dengan pengawalan dan pemprosesannya.

"PAS dan Pakatan Rakyat amat faham perkara itu dan ia juga amat perlu difahami oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PAS bersama-sama penduduk di kawasan itu konsisten menentangnya sejak dulu," ujar beliau.

Sumber : Harakah Daily

Ulasan Jiwa Hamba.
“Fas alu ahla zikri in kuntum la ta’lamun ”(bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.). inilah yang dituntut oleh setiap umat islam apaila berhadapan dengan apa-apa juga permasalahan. Dr Che Rosli Che Mat adalah ahli zikri dalam perkara ini, jadi pandangannya beliau perlu diterima dengan dada yang lapang.

Namun, jangan pula ia sampai memperlihatkan ketiadaan kesatuan fikiran dan kesatuan tindakan antara pucuk pimpinan PAS. Lebih sopan sekiranya Dr Che Rosli menyuarakan pandangannya menerusi blog peribadi sebagaimana dilakukan oleh sesetengah pemimpin Pas dan PKR.

Rabu, 24 Ogos 2011

Undi Pos: Ramai lagi anggota tentera akan mendedahkan penyelewengan



Susulan pendedahan empat bekas anggota tentera yang mendakwa telah menanda ribuan kertas undi pos dalam pilihan raya sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa lebih ramai bekas anggota itu akan tampil membuat pengakuan yang sama.

Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Suhaizan Kaiat berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, ramai bekas anggota tentera menghubunginya untuk membuat pengakuan tersebut.

"Setiap kali ceramah, ada (bekas tentera) yang mengaku bahawa dia terlibat. Mereka terdiri daripada dua kategori.

"Pertama, mereka yang memangkah iaitu anggota tentera yang membuat kerja-kerja yang dilakukan oleh empat orang tersebut.

"Satu lagi, mereka yang tidak berpuas hati,kerana mereka beberapa kali tidak dapat mengundi. walhal, nama mereka ada dalam daftar pemilih," katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun, sehari selepas pendedahan itu dibuat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bagaimanapun dilaporkan tidak menyalahkan bekas anggota berkenaan yang didakwanya "mungkin telah dipergunakan sebagai alat."

Beliau dilapor menyalahkan Pemuda PAS dan mencabar mereka mengemukakan bukti untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

Mengulas cabaran Zulkifeli itu, Suhaizan berkata pihaknya akan menunjukkan bukti dan data untuk membuktikan dakwaan mereka selepas sambutan Hari Raya Aildilfitri.

"Apa yang kita jumpa di Bagan Pinang, di Sibu... Ini kita akan keluar satu per satu untuk menyatakan ini bukti-bukti bahawa ada manipulasi dalam undi pos," katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS akan "mengumpulkan lebih ramai" untuk membuktikan dakwaan mereka "benar-benar berlaku".

"Perkara ini, bukan satu atau dua orang berkata, tapi begitu ramai (bekas) anggota tentera yang menyatakan perkara ini," katanya.

Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS Johor berkata pihaknya akan terus memperjuangkan reformasi undi pos sekiranya tidak ada usaha dibuat ke arah itu.

Ditanya sama ada Zulkifeli patut mengeluarkan kenyataan tersebut, Suhaizan berkata perkara tersebut sepatutnya dijawab oleh menteri yang terlibat dan SPR.

Ulasan Jiwa Hamba.

Undi Pos itulh talian hayat BN. Tanpa undi pos BN sudah lama jadi arwah. Kepada angkatan tentera yang telah insaf dan membuat pendedahan ini, moga Allah merahmati kalian. Bersiap sediah BN untuk dikebumikan.