Sabtu, 6 Ogos 2011

Pujukan gereja


Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal.

Katanya, pada mulanya dia berat hati tetapi selepas memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah, dia menerima bantuan dihulurkan dalam bentuk makanan keperluan harian setiap bulan sejak April tahun lalu.
“Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.

“Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.

“Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.

Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.

Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.

“Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.

“Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

ULASAN JIWA HAMBA.

Isu akidah tidak boleh dipandang ringan. Melihat kepada keadaan sekarang, krisis akidah ini umpama barah yang sedang membaham sel-sel akidah. Tidak mustahil suatu hari nanti, tukar agama akan jadi umpama tukar baju.

Cuma Jiwa Hamba hairan dengan Datuk Mohd Zaman Khan, presiden Majlis Aids Malaysia (MAC) yang mewajarkan tindakan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) atas alasan mengutip dana bagi program sokongan HIV/AIDS. Datuk Zaman Khan adalah bekas orang kuat dalam PDRM dan nampaknya kini mula bersekongkol dengan agenda pihak gereja.

Tentera SEAL AS terbunuh tidak terbabit misi bunuh Osama: NATO

Tentera SEAL AS terbunuh tidak terbabit misi bunuh Osama: NATO

WASHINGTON: Barack Obama menyifatkan kematian anggota tentera negara itu susulan serangan helikopter semalam, adalah satu peringatan terhadap harga "luar biasa" yang perlu dibayar tentera Amerika Syarikat (AS) dalam peperangan di Afghanistan

Presiden AS dalam kenyataannya tidak mengesahkan angka yang terbunuh atau maklumat lanjut berhubung kemalangan itu.
Bagaimanapun, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, berkata 31 anggota pasukan operasi khas AS terbunuh manakala tujuh anggota komando Afghanistan.

Sementara itu, difahamkan lebih 20 anggota pasukan tentera laut SEAL terbunuh dan tiada seorang pun dipercayai terbabit dengan misi pasukan itu membunuh pengganas yang dikehendaki, Osama Laden.

Menurut sumber, mereka dipercayai daripada unit sama dengan pasukan yang terbabit ketika misi membunuh Osama Laden. - AP

Jumaat, 5 Ogos 2011

IC merah bertukar biru kurang 24 jam

Hazayani Zakaria


SHAH ALAM, 5 Ogos: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.



Ally Iskandar putus tunang



SHAH ALAM: Personaliti TV3, Ally Iskandar, 35 mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Naib Juara rancangan Gadis Melayu musim pertama, Nur Aishah Zainal, 25, telah putus pada 30 Julai lalu.

Tanpa berselindung Ally berkata, perpisahan itu berlaku disebabkan tiada keserasian di antara mereka walaupun hakikatnya mereka telah memutuskan untuk mendirikan rumah tangga yang dijadualkan hujung tahun ini.

“Kami telah berusaha untuk menyelamatkan pertunangan kami tetapi tidak mencapai kata yang positif sehingga membuatkan kami mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan,” katanya kepada pemberita pada rakamkan program Mentor Raya di sini, Khamis.

Ujar Ally, perpisahan itu tiada kaitan dengan pihak ketiga ataupun konflik besar membabitkan mereka sebaliknya beberapa masalah lain yang datang secara berperingkat sehingga gagal untuk diselesaikan.

Katanya, mereka berdua pernah mengimpikan untuk menjadi pasangan bahagia dalam rumah tangga tetapi sayang sekali ia tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Keputusan memutuskan tali pertunangan itu juga membuatkan Ally berasa kecewa dan ralat kerana sangkanya, dengan usia yang semakin meningkat dan mempunyai kerjaya yang kukuh, dia dapat endirikan rumah tangga secepat mungkin

Malah ujar Ally lagi keluarganya turut bersedih dengan peristiwa itu lebih-lebih lagi mereka amat gembira semasa majlis pertunangan yang diadakan sebelum ini.

“Saya tak nafikan masalah ini meninggalkan kesan besar buat saya dan ia amat menyedihkan. Daripada dibiarkan melarat, lebih baik keputusan (memutuskan pertunangan) dibuat secara baik,” katanya.

Bagaimanapun ujar Ally, dia dan Nur Aishah masih berkawan baik dan tiada permusuhan di antara mereka.

Katanya, buat masa ini dia mahu memberi perhatian terhadap tugasnya sebagai pengacara TV3 dan enggan terlalu memikirkan masalah itu.

Sementara itu, Ally menegaskan bahawa keputusan tersebut tiada kaitan dengan dirinya yang mahu mengikut jejak langkah seperti pemain bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat yang juga memutuskan pertunangannya dengan Elia pada hari yang sama.

"Saya harap, tiada spekulasi atau pandangan buruk yang berlaku kerana saya mendapat tahu, ada orang menganggap saya sengaja mahu mengikut jejak Fahmi untuk memutuskan pertunangan ini," tegasnya.




Rabu, 3 Ogos 2011

Warga tua terberak tunggu wang kebajikan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa keadaan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Jalan Macalister, Pulau Pinang adalah sebegitu kelam kabut dan sesak pada setiap minggu pertama setiap bulan.

Ini kerana menurut presidennya SM Mohamed Idris, beliau dimaklumkan sepanjang tempoh itu golongan tua, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan miskin tegar akan membanjiri bank itu dan semua cawangannya di seluruh negara untuk mengeluarkan bayaran kebajikan bulanan mereka.

“Ramai daripada penerima ini yang telah berusia dan resah serta terpaksa berdiri dalam barisan sehingga ke pintu masuk bank.

“Pegawai kami diberitahu terdapat keadaan di mana golongan tua terutama sekali mereka yang sakit terkencing dan terberak dalam premis ketika menunggu untuk mengeluarkan wang mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, menurut SM Mohamed (kiri), bayaran dibuat  melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

BSN kemudiannya dilantik menjadi bank komuniti untuk menyalurkan bayaran itu.

Menurut presiden CAP itu, BSN juga cuba untuk mengatasi masalah berkenaan dengan mengeluarkan kad ATM tetapi kebanyakan penerimanya enggan menggunakan mesin bagi tujuan pengeluaran.

“Ramai mendakwa adalah sukar bagi mereka menggunakan mesin dan ada ketikanya mereka lupa nombor pengenalan diri (PIN). Keadaan ini boleh dijangkakan kerana mereka sudah berusia dan sering lupa,” katanya.

Sehubungan itu, SM Mohamed menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya segera mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Katanya, bank komersial lain juga perlu menyediakan perkhidmatan untuk memudahkan golongan berkenaan mengeluarkan wang kebajikan mereka.
Semua bank mestilah memainkan peranan mereka dalam membantu komuniti memandangkan inilah apa yang dikatakan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” akhiri kenyataan media CAP itu.


Ulasan Jiwa Hamba:
BSN kat mana-mana cawangan pun dan untuk apa-apa urusan sekalipun memang lembap macam siput.Sudah banyak kali Jiwa Hamba berurusan dengan BSN, ternyata ia amat meletihkan.

Selasa, 2 Ogos 2011

Jawab dulu dakwaan sebelum mengajar rakyat tidak membazir – Ulamak Pelapis PAS


Kuala Lumpur, 2 Ogos 2011 - Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar menjawab terlebih dahulu dakwaan bahawa isterinya Datin Seri Rosmah Mansur telah membeli sebentuk cincin berharga RM 24.4 juta sebelum mengajar rakyat berjimat.
Beliau dipetik hari ini memberi peringatan kepada semua pihak agar berbelanja secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran sepanjang menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan.

Sebelum ini, sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang berhubung dakwaan pembelian cincin tersebut dan ia bebas daripada dikenakan cukai import.

Berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai "Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond" diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Walaupun Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa untuk melayannya, ia masih belum memadai untuk meyakinkan rakyat tentang kenyataan tersebut.

Perdana Menteri sebagai orang yang paling berkuasa dalam negara ini seharusnya mendapatkan maklumat daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan memberikan penjelasan kepada rakyat jika ingin menafikan penglibatan isterinya dalam pembelian tersebut.

Beliau sepatutnya menerangkan kepada rakyat siapakah "Datin Seri Paduka Rosmah Mansor" yang namanya tertera pada salinan cetakan dokumen yang diambil daripada skrin komputer bagi membuktikan bahawa bahawa penama yang menjadi pengimport cincin tersebut bukan isterinya tetapi adalah orang lain.

Jika beliau tidak mampu menerangkan tentang perkara ini maka beliau tidak boleh menyalahkan persepsi rakyat tentang pembaziran yang dilakukan oleh isterinya dan mengundang dakwaan bahawa berlakunya salah guna kuasa dalam pentadbiran beliau.

Duit yang digunakan untuk membeli cincin itu seharusnya juga diterangkan daripada mana sumbernya untuk menjawab dakwaan tersebut.
Jawapan daripada Datuk Seri Najib ini adalah sangat penting agar beliau tidak dianggap seumpama ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.

Ulasan Jiwa Hamba,

Berjimat memang tuntutan agama dan membazir pula adalah amalan syaitan. Tapi, tidak bijak andainya PM menasihatkan rakyat agar berjimat cermat tapi dalam masa yang sama menghabiskan jutaan ringgit untuk isteri kesayangannya, Rasmah Mansur.

PM, kena ingat, antara sebab orang ramai membencinya ialah kerana kediktatoran Rasmah Mansur. PM, harus berhati-hati, Rasmah Mansur nanti bakal menjadi punca kejatuhannya nanti.


Isnin, 1 Ogos 2011

MB Kedah dimasukkan ke IJN, jantung tersumbat



Kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dimasukkan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan serta pemeriksaan jantung, tidak membimbangkan dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut Setiausaha Akhbar beliau, Mohd Helmi Khalid, Azizan yang menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke IJN Jumaat lalu selepas mengadu sakit jantung
"Doktor yang memeriksa beliau mendapati satu saluran ke jantungnya ada masalah (tersumbat) dan menasihatkan Menteri Besar tinggal lebih lama untuk dirawat, selain bagi menstabilkan tekanan darahnya.

"Kesihatan Menteri Besar dalam keadaan stabil sekarang, tetapi saya tidak tahu bila doktor akan membenarkan beliau keluar dari IJN," katanya ketika dihubungi.

Mohd Helmi berkata doktor juga tidak membenarkan Azizan menerima pelawat bagi mengelak gangguan terhadap proses rawatan dan membolehkan tekanan darah beliau kembali normal dengan lebih cepat.

Bagaimanapun, beliau berkata Sultan dan Sultanah Kedah serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri itu sempat menziarahi Azizan di IJN hari ini.

Ulsan Jiwa Hamba.
Marilah kta semua umat islam mendoakan agar Ustaz Azizan segera pulih. Ya Allah, selamatkanlah ulama kesayangku ini.

Jiwa Hamba sangat geram dengan beberapa ekor blogger upahan umno yang menghina Ustaz Azizan yang sedang dirawat di IJN. Kepada blogger2 hina, perbanyakkan ibadatmu di bulan yang penuh berkat ini, dan jangan suka menghina ulama pewaris Nabi

Ahad, 31 Julai 2011

Keunikan Ramadan terserlah di Kota Bharu

Aslani M

KOTA BHARU, 31 Julai: Di negeri-negeri lain kempen kibar Jalur Gemilang sedang rancak dijalankan, sebaliknya di Kelantan kemeriahan Ramadan pula dirasai sekarang.

Persiapan akhir di Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sedang dijalankan sejak pagi tadi.

Kelainan Ramadan sejak 20 tahun lalu dirasai apabila ada khemah khas tempat solat Tarawih disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di tengah pusat bandar.

Bermula khemah Tarawih di Dataran MPKB kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang yang lebih selesa dan strategik.

Solat Tarawih berimamkan qari dari Mesir sejak beberapa tahun lalu begitu mengasyikkan ribuan jemaah yang hadir.

Tambahan pula tempat solat di Qaryah Ramadan disediakan penghawa dingin. Selain itu di beberapa masjid utama di sekitar Kota Bharu juga disedia penghawa dingin termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Lundang dan Masjid Kota Darulnaim.

Bagi pemimpin kerajaan negeri dan PAS, Ramadan lebih sibuk berbanding bulan lain memandangkan program tadarus al Quran diadakan di setiap kawasan parlimen.

Selain itu mereka juga perlu menyampaikan tazkirah di Dewan Zulkifli Mohammad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas solat Zohor.

Tazkirah dimulakan pada 1 Ramadan dan dijangka dilancarkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut dijadual menyampaikan tazkirah tersebut anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Dua anggota Exco yang bukan lulusan bidang pengajian agama iaitu Abdul Fattah Mahmood (optometrist) dan Che Abdullah Mat Nawi (kewangan) juga dijadual menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Manakala program tadarus al Quran dimulakan pada 2 Ramadan akan diadakan di kawasan parlimen Ketereh bermula solat Asar sehingga waktu iftar.

Program itu akan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program serupa diadakan di kesemua 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kemuncaknya program tadarus al Quran akan diadakan pada 17 Ramadan di Bukit Bunga, Jeli. Sempena program itu ceramah Badr al Kubra juga diadakan.

Di Qaryah Ramadan pula pelbagai program disusun khas seperti tahun-tahun sebelumnya. Antaranya iftar dan sahur jama’i, kelas pengijazahan al Quran, tazkirah selepas dua salam Tarawih, relay bacaan al Quran selepas jam 12 malam.

Selain itu tadarus al Quran setengah jam sebelum berbuka, qiamulai mulai jam 4 pagi, program sepetang di ambang iftar, interaktif bersama imam dari Mesir, kelas al Quran selepas solat Zohor dan Asar, pameran Palestin serta cafe mubarak.

Perasmian Qaryah Ramadan dijangka diadakan pada 4 Ramadan selepas solat Tarawih oleh Menteri Besar.

Himpunan Remaja Ramadan

Himpunan Remaja Ramadan pula diadakan pada petang 5 dan 15 Ramadan. Majlis khatam al Quran 30 juzuk dijadualkan pada 13 Ramadan.

Di Qaryah Ramadan juga akan diadakan ceramah Nuzul al Quran pada 17 Ramadan disampaikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.

Tahun ini juga diadakan program Sehari Celik IT dan program Skor A bagi pelajar-pelajar bakal menduduki peperiksaan, pagi 20 Ramadan.

Pada malam hari sama diadakan ceramah pengkisahan Badar Kubra akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dun Kelantan dan wakil Palestin.

Kelainan juga dapat dirasakan apabila pelbagai sepanduk meraikan kedatangan Ramadan boleh dilihat di merata tempat di Kelantan sejak seminggu lalu.

Sementara itu bandar Kota Bharu mengalami kesesakan lalu lintas begitu teruk pada Khamis, Sabtu lalu dan hari ini.

Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit pada hari biasa bertukar kepada lebih sejam.