Selasa, 2 Ogos 2011

Jawab dulu dakwaan sebelum mengajar rakyat tidak membazir – Ulamak Pelapis PAS


Kuala Lumpur, 2 Ogos 2011 - Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar menjawab terlebih dahulu dakwaan bahawa isterinya Datin Seri Rosmah Mansur telah membeli sebentuk cincin berharga RM 24.4 juta sebelum mengajar rakyat berjimat.
Beliau dipetik hari ini memberi peringatan kepada semua pihak agar berbelanja secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran sepanjang menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan.

Sebelum ini, sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang berhubung dakwaan pembelian cincin tersebut dan ia bebas daripada dikenakan cukai import.

Berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai "Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond" diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Walaupun Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa untuk melayannya, ia masih belum memadai untuk meyakinkan rakyat tentang kenyataan tersebut.

Perdana Menteri sebagai orang yang paling berkuasa dalam negara ini seharusnya mendapatkan maklumat daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan memberikan penjelasan kepada rakyat jika ingin menafikan penglibatan isterinya dalam pembelian tersebut.

Beliau sepatutnya menerangkan kepada rakyat siapakah "Datin Seri Paduka Rosmah Mansor" yang namanya tertera pada salinan cetakan dokumen yang diambil daripada skrin komputer bagi membuktikan bahawa bahawa penama yang menjadi pengimport cincin tersebut bukan isterinya tetapi adalah orang lain.

Jika beliau tidak mampu menerangkan tentang perkara ini maka beliau tidak boleh menyalahkan persepsi rakyat tentang pembaziran yang dilakukan oleh isterinya dan mengundang dakwaan bahawa berlakunya salah guna kuasa dalam pentadbiran beliau.

Duit yang digunakan untuk membeli cincin itu seharusnya juga diterangkan daripada mana sumbernya untuk menjawab dakwaan tersebut.
Jawapan daripada Datuk Seri Najib ini adalah sangat penting agar beliau tidak dianggap seumpama ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.

Ulasan Jiwa Hamba,

Berjimat memang tuntutan agama dan membazir pula adalah amalan syaitan. Tapi, tidak bijak andainya PM menasihatkan rakyat agar berjimat cermat tapi dalam masa yang sama menghabiskan jutaan ringgit untuk isteri kesayangannya, Rasmah Mansur.

PM, kena ingat, antara sebab orang ramai membencinya ialah kerana kediktatoran Rasmah Mansur. PM, harus berhati-hati, Rasmah Mansur nanti bakal menjadi punca kejatuhannya nanti.


Tiada ulasan: